Pergi ke kandungan

Dolar Selat

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Mata Wang satu dollar Dolar Selat yang diguna pakai pada tahun 1935

Dolar Selat ialah mata wang Negeri-negeri Selat dari 1904 hingga 1939. Pada waktu duit, mata wang ini juga digunakan di Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, Sarawak, Brunei, dan Borneo Utara British.

Mata wang satu sen Dolar Selat yang diguna pakai pada tahun 1920

Pada awal abad ke-19, mata wang yang paling umum digunakan di Hindia Timur ialah dolar Sepanyol, termasuk terbitan-terbitan dari kedua-dua Sepanyol dan tanah-tanah jajahan Sepanyol dunia baharu, khususnya Mexico. Duit syiling tempatan yang digunakan termasuk keping Kelantan, keping Trengganu, dan dolar Pulau Pinang.

Pada 1837, rupee India dijadikan mata wang rasmi yang tunggal di Negeri-negeri Selat kerana ia ditadbirkan sebagai sebahagian India. Bagaimanapun, dolar Sepanyol terus diedarkan. Pada 1845, mata wang Negeri-negeri Selat diperkenalkan, dengan dolar Selat sama nilainya dengan dolar Sepanyol atau peso Mexico, dan 100 cent = 1 dolar. Dolar kemudian menjadi mata wang piawai pada tahun 1867 apabila pentadbiran Negeri-negeri Selat dipisahkan dari India.

Sejak 1898, dolar Selat dikeluarkan oleh Lembaga Pesuruhjaya Mata Wang yang baharu dan bank-bank swasta tidak lagi dibenarkan mengeluarkan nota-nota. Nilainya menyusut sepanjang lapan tahun yang berikut and kemudian ditetapkan pada nilai dua syiling empat peni sterling pada 1906.

Dolar Selat digantikan dengan dolar Malaya pada nilai yang sama pada 1939. Sehingga hari ini, Brunei dan Singapura masih menggunakan pengganti unit ini, tetapi Malaysia mengamalkan sistem sendiri pada tahun 1973.

Duit syiling

[sunting | sunting sumber]
1 sen 1845, Syarikat Hindia Timur
1 sen 1862

Duit syiling pertama yang dikeluarkan untuk Negeri-negeri Selat pada 1845 ialah jenis mata wang ¼, ½ and 1 sen yang diperbuat daripada tembaga. Duit itu yang dikeluarkan oleh Syarikat Hindia Timur tidak menunjukkan di mana wang itu akan digunakan. Bagaimanapun, jenis mata wang yang sama yang dikeluarkan buat kali kedua oleh kerajaan India British pada 1862 mempunyai inskripsi "India - Selat".

Pada 1871, duit syiling perak dikeluarkan atas nama Negeri-negeri Selat untuk jenis mata wang 5, 10, dan 20 sen, diikuti oleh duit syiling tembaga ¼, ½, and 1 pada 1872 dan duit syiling perak 50 sen pada 1886. Dolar perak juga ditempa buat pertama kali pada 1903.

Terbitan khas 3-halaman Warta Kerajaan Negeri-negeri Selat yang dikeluarkan di Singapura pada 24 Ogos 1904 mengandungi perisytiharan yang berikut oleh Gabenor ketika itu, Sir John Anderson:

Dari 31 Ogos 1904, Dolar British, Mexico dan Hong Kong tidak lagi akan merupakan wang sah dan akan digantikan dengan Dolar Negeri-negeri Selat yang baru diperkenalkan.

Tujuan tindakan itu adalah untuk mewujudkan suatu nilai pertukaran untuk Dolar Selat baharu yang berasingan daripada dolar-dolar perak yang lain yang diedarkan di kawasan Negeri-negeri Selat, khususnya dolar perdagangan British. Matlamatnya adalah bahawa apabila nilai pertukaran menyimpang dengan ketara daripada nilai dolar-dolar perak yang lain, pihak berkuasa akan menetapkan nilainya berdasarkan wang sterling pada nilai itu dan dengan itu, memasukkan Negeri-negeri Selat ke dalam piawai pertukaran emas. Penetapan itu akhirnya berlaku apabila Dolar Selat mencecah nilai wang sterling sebanyak dua syiling dan empat peni (2s 4d).

Dalam tempoh beberapa tahun, nilai perak naik dengan begitu pesat sehingga nilainya di dalam duit syiling dolar Selat melebihi nilai pertukaran emasnya. Untuk mencegah dolar-dolar itu dileburkan, dolar baharu yang lebih kecil dikeluarkan pada 1907 dengan kandungan peraknya dikurangkan. (Keadaan yang sama berlaku di Filipina pada waktu yang sama.) Duit syiliing ¼ sen yang terakhir dikeluarkan pada 1916. Dolar ditempa buat kali yang terakhir pada 1920, dengan pengeluaran 50 sen dihentikan pada 1921. Bagaimanapun, duit-duit syiling yang lain masih dikeluarkan sehingga 1935.

Nota bank

[sunting | sunting sumber]

Lembaga Pesuruhjaya Mata Wang memperkenalkan nota dolar 5 dan 10 dolar pada 1898, diikuti oleh 50 dan 100 dolar pada 1901 serta 1-dolar pada 1906. Terbitan-terbitan kecemasan 10- dan 25-sen dibuat antara 1917 hingga 1920. Nota 1,000 dolar dikeluarkan pada 1930 tetapi pada dekad 1930-an, hanya nota 1, 5, dan 10-dolar dikeluarkan.

Terbitan kerajaan Negeri-negeri Selat (1899 - 1942)

[sunting | sunting sumber]

Kerajaan Negeri-negeri Selat mula-mulanya diberi kuasa untuk mengeluaran nota-nota mata wang menerusi Ordinans VIII 1897 yang berkuatkuasa pada 31 Ogos 1898. Nota-nota itu, walaupun bertarikh 1 September 1898 tidak dikeluarkan kepada khalayak sehingga 1 Mei 1899. Kedua-dua Chartered Bank dan Hong Kong and Shanghai Bank masih mengeluarkan nota bank yang diedarkan bersama-sama mata wang yang rasmi. Semua nota boleh ditukarkan secara bebas dengan dolar Mexico atau pelbagai duit syiling perak yang lain yang merupakan wang sah di Tanah Jajahan.